MENU

LATAR BELAKANG PENDANG

Nama ‘Pendang’ dikatakan berasal daripada nama ‘Pendiat’ yang bermakna parit atau lubang yang digali khas untuk menangkap dan menjinakkan gajah.Gajah-gajah yang telah dijinakkan dimandikan di telaga sejarah yang terdapat berhampiran Balai Polis Daerah Pendang. Menurut sejarah, telaga ini adalah telaga asal dan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau panjang.Anak-anak gajah dipelihara di sebuah kampung yang bernama Kubang Anak Gajah dan gajah-gajah yang mati pula akan ditanam di satu tempat bernama Kampung Gajah Mati.

Pada zaman tersebut, Pendang adalah tempat pembiakan gajah yang terbesar dan terkenal di Negeri Kedah selain dari Mukim Naga di Daerah Kubang Pasu. Gajah menjadi kenderaan utama pada masa itu terutama sebagai kenderaan darat untuk menghantar ‘ufti’ ( Bunga Emas ) ke Negeri Siam.Pendang merupakan sebuah daerah dalam Negeri Kedah Darul Aman yang diwartakan pada 1 Februari 1975 dan disempadani oleh Daerah Kota Setar di bahagian Utara, Daerah Yan di Barat, Daerah Padang Terap dan Sik di sebelah Timur dan Daerah Kuala Muda di bahagian selatan. Keluasan bagi Daerah Pendang ialah 62,929 hektar atau 629.29 kilometer persegi dan terbahagi kepada lapan mukim iaitu Mukim Tobiar, Mukim Padang Pusing, Mukim Guar Kepayang, Mukim Padang Peliang, Mukim Rambai, Mukim Bukit Raya, Mukim Padang Kerbau dan Mukim Air Puteh.

Sebanyak 27,639 hektar tanah di Daerah Pendang digunakan untuk tanaman getah manakala 18,462 hektar tanah digunakan untuk tanaman padi. Antara tanaman yang semakin pesat diusahakan di Daerah Pendang ialah rambutan, durian, cempedak, mangga, dokong, limau bali, nangka dan manggis. Sektor perniagaan yang terdapat di Daerah Pendang dibahagikan kepada dua kategori iaitu perniagaan formal (barang runcit dan perkhidmatan) dan perniagaan tidak formal (gerai dan penjaja). Aktiviti perniagaan di Daerah Pendang tertumpu pada kawasan penempatan utama seperti Pekan Pendang, Tanah Merah, Tokai, Kubur Panjang, Bukit Jenun, Kilang Kechik, Kokbah dan Kampung Baru.

Daerah Pendang tidak mempunyai kawasan khusus untuk industri. Sektor perindustrian adalah berselerak di merata tempat. Industri di Daerah Pendang banyak tertumpu kepada hasil pertanian seperti kilang beras dan getah. 68 peratus kilang di daerah Pendang dimiliki oleh kaum Cina yang terlibat dalam semua jenis kilang. Melayu memiliki 26 peratus jumlah kilang di Daerah Pendang, hampir semuanya terlibat dalam industri makanan. Kaum-kaum lain memiliki kurang dari lima peratus.

Daerah Pendang mempunyai 32 buah Sekolah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (tiga buah) , Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (sebuah), Sekolah Menengah Agama Rakyat (dua buah) dan Sekolah Menengah (9 buah). Keseluruhannya, pelajar sekolah rendah seramai 13,994 orang dengan tenaga pengajar seramai 740 orang dan jumlah kelas sebanyak 240 buah.

Di samping itu, Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang mula diperkenalkan sejak tahun 1989 juga turut dititikberatkan di Daerah Pendang. Melalui program ini, jumlah Ketua Isi Rumah termiskin dapat dikurangkan. Daerah Pendang adalah sebuah daerah yang belum diterokai sepenuhnya dan mempunyai sumber yang mencukupi untuk dibangunkan sebagai satu daerah yang maju di masa hadapan melalui perancangan yang teratur dan terancang.

KAMPUNG TRADISIONAL

Kampung Tradisional Secara Sepintas Lalu

Untuk memastikan bahawa kawasan-kawasan kampung dan luar bandar di Malaysia menerima kemudahan dan peluang yang mencukupi untuk membangun, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah menjalankan satu program penyelidikan yang bertajuk Kajian Pelan Induk Kampung Tradisional dan Petempatan Tersusun di dalam Kawasan PBT (KPIKTPT). KPIKTPT telah ditubuhkan untuk mendapatkan maklumat asas mengenai kawasan kampung berserta profilnya di dalam kawasan pentadbiran PBT di Semenanjung Malaysia. Kajian ini juga mengenal pasti kawasan-kawasan kampung mengikut klasifikasi kesejahteraan yang bertindak sebagai kayu pengukur untuk rujukan pemaju di masa depan. Untuk maklumat lanjut mengenai projek penyelidikan ini, klik di sini untuk melihat laman web rasmi.

Definisi Kampung Tradisional

Kampung tradisional dalam penyelidikan ini merujuk kepada kawasan penempatan yang telah diwarisi oleh orang-orang Melayu untuk bergenerasi lamanya dan mempunyai ciri-ciri Melayu dalam seni bina manakala persekitaran dan alam sekitarnya pula berkonsepkan kampung Melayu. Kampung-kampung tradisional yang terlibat dalam penyelidikan ini adalah mengikut senarai yang telah disediakan oleh Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan.

* http://ejkt.kpkt.gov.my/kgtrad/

Tahukah Anda

Terdapat empat (4) jenis perkampungan tradisional yang berbeza, iaitu kampung tradisi, kampung nelayan, kampung terapung (dibina di atas air) serta kampung Orang Asli.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari kajian ini, terdapat sejumlah 14,003 buah kampung di dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan. Daripada jumlah tersebut, kajian perlu diteruskan di 4,248 buah kampung lagi.

Berdasarkan hasil kajian tersebut, cara pengangkutan awam yang utama bagi penduduk kampung adalah bas dan teksi.

Klasifikasi kesejahteraan dijalankan melalui kaedah Penilaian Pelbagai Kriteria (MCE). Dengan adanya sistem klasifikasi ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), serta pihak-pihak lain yang berkaitan berupaya mempertingkatkan kualiti hidup di dalam kawasan kampung. Klasifikasi tersebut terbahagi kepada lima kategori iaitu: Amat Sejahtera, Sejahtera, Sederhana Sejahtera, Kurang Sejahtera dan Tidak Sejahtera.

Selaras dengan Wawasan 2020, usaha-usaha  sedang dijalankan untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada penduduk kampung. Ini termasuklah usaha menyediakan sekolah-sekolah yang dilengkapi kemudahan ICT demi memastikan penduduk kampung sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa. Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) sedang dijalankan di kawasan-kawasan luar bandar di bawah Peruntukan Perkhidmatan Universal untuk memudahkan lagi usaha-usaha sedia ada.